Program Minda Sihat, Komuniti Sejahtera

14 Mac 2026 | Desa Mentari, Petaling Jaya

Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah hadir menyempurnakan Program Minda Sihat, Komuniti Sejahtera anjuran Lembaga Kaunselor Malaysia bersama Sunway University dan komuniti Desa Mentari di Desa Mentari.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesejahteraan mental serta memperkukuh sokongan komuniti terhadap individu yang menghadapi tekanan emosi dan cabaran hidup.

Inisiatif ini selaras dengan hasrat Kerajaan dalam menekankan aspek pencegahan dan intervensi awal, termasuk melalui Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam bagi menyediakan khidmat kaunseling, bantuan kebajikan serta sokongan kepada masyarakat.

Program ini turut melibatkan lebih 100 pelajar dan pihak pengurusan Sunway University, sekali gus mencerminkan komitmen generasi muda serta institusi pendidikan dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti. Kerjasama pelbagai pihak ini diharap dapat membina masyarakat yang lebih empati, prihatin dan berdaya tahan.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk penduduk Desa Mentari seperti pameran agensi/jabatan KPWKM, kaunter perkhidmatan bergerak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan Kafeteen, aktiviti memasak Bubur Lambuk serta aktiviti interaktif bersama pelajar Sunway University.

Turut hadir ialah Tuan Haji Sadli bin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) / Pendaftar LKM; Profesor Mahendhiran Nair, Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Kelestarian) Sunway University; serta Tuan Mohd. Zaini bin Saleh, Pengerusi Komuniti MADANI Desa Mentari.