Kegawatan gejala sosial masa kini memerlukan pendekatan yang lebih berkesan dan kaunseling dikenal pasti sebagai mekanisme terbaik dan sistematik bagi membantu masyarakat dari aspek psikologikal dan tingkah laku agar dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang bermoral dan beretika. Sesuai dengan perkembangan pesat yang berlaku dalam masyarakat Malaysia, profesion kaunselor dan bidang kaunseling perlu diiktiraf dengan akta yang tersendiri. Oleh yang demikian, pada Oktober 1993 Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Majlis Kaunseling Kebangsaan (MKK). Majlis Kaunseling Kebangsaan telah dipengerusikan oleh Y.B Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ketika itu dan diuruskan secara pentadbiran.
Fokus Majlis Kaunseling Kebangsaan terbahagi kepada tiga tugas utama iaitu menilai keperluan perkhidmatan kaunseling, menentukan definisi dan standard kelayakan serta peringkat-peringkat kaunseling yang ditetapkan dan diiktiraf serta menyediakan kod etika perkhidmatan kaunseling. Majlis Kaunseling Kebangsaan juga telah memutuskan agar Rang Undang-Undang Kaunselor digubal dan hasilnya satu Rang Undang-Undang Kaunselor telah dibentangkan pada 13 Ogos 1996 di Mesyuarat Majlis Kaunseling Kebangsaan.
Rang Undang-Undang Kaunselor ini kemudiannya telah mendapat persetujuan Diraja pada 4 Mac 1998 dan diwartakan pada 19 Mac 1998 atas nama Akta Kaunselor 1998 (Akta 580). Akta ini memberikan kuasa secara sah ke atas pengawalseliaan perkhidmatan kaunselor serta semua aktiviti berkaitan kaunseling di Malaysia. Lembaga Kaunselor diketuai oleh seorang Presiden dan dianggotai oleh 15 orang ahli yang dilantik mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13(1) Akta Kaunselor 1998 (Akta 580). Pentadbiran Lembaga Kaunselor telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah penyusunan semula kabinet pada tahun 2004. Unit ini diketuai oleh seorang Pendaftar di bawah Unit Pengurusan Lembaga Kaunselor. Lembaga Kaunselor bertanggungjawab terhadap semua urusan berhubung penguatkuasaan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dan merupakan satu mekanisme pelaksanaan perkara-perkara yang berhubung dengan akta tersebut bagi mengawal dan membangunkan tahap profesionalisme kaunselor dan perkhidmatan kaunseling di negara ini.





Users Today : 8
Pengunjung Semalam : 63
Pengunjung 7 Hari Lepas : 615
Pengunjung 30 Hari Lepas : 1861
Pengunjung Bulan Ini : 1396
Pengunjung Tahun Ini : 1861
Total Users : 2227993
Pengunjung Dalam Talian : 0